Jumaat, Ogos 28, 2009

Sekadar Renungan Bersama

Tidak ada siapa yang tidak menitiskan air mata sedih, risau dan bimbang terhadap apa yang akan berlaku kepada anak-anak di akhir zaman ini, bila melihat teletah anak yang tidak kenal akan masjid, tidak tahu mengambil wuduk dan mengabaikan solat. Sedangkan ibubapa mereka selalu berada di masjid dan hatinya bergantung kepadanya.


Jika nasi sudah menjadi bubur, maka kita sebagai ibubapa tidak usah menyalahkan orang lain. Bapa ialah orang yang diberi tugas untuk bertanggungjawab terhadap anak-anak untuk memilih sistem pendidikan ( agama ) anak pada peringkat awal, dan kemudian mengikut serta membimbing anak-anak ke arah yang diredhai Allah swt dalam berbagai aspek.


Tanpa didikan agama sejak kecil, dimana anak-anak selalu dikawal rapi dari dimasuki unsur negatif seperti pengaruh rokok, dadah, arak, merosak maruah dan lain-lain. Maka anak-anak kita menjadi manusia liar yang tidak dapat dikawal, malah sanggup menyeksa dan membunuh ibubapa sendiri pada bila-bila masa. Inilah anak hasil daripada manusia yang ghairah kepada kebendaan yang jauh dari sinar iman dan takwa kepada Allah swt.


Umat islam tidak perlu menghitung dan membuat peratusan terhadap bilangan anak yang tidak solat pada zaman ini, sama ada 80% atau 90% . Hal ini kerana, mereka masih belum memperbaiki sistem pendidikan ( agama ) anak-anak yang ada kini. Adapun bapa, dia tetap akan tetap berhadapan dengan Allah swt di hari akhirat terhadap perlakuan dan sikap anak-anak yang telah meninggalkan cara hidup islam yang telah diwarisi sejak zaman keemasan islam, baik di barat mahu pun di timur.


"Solat" adalah merupakan suatu cara hidup terpenting dalam kehidupan beriman dan beragama bagi orang islam di seluruh dunia, dimana-mana sahaja mereka berada semasa berada dirumah atau dalam negeri. Ketika dalam keadaan musafir dan dalam keadaan aman atau takut ( dimedan perang ), selagi seseorang islam itu masih berakal dan sedar, dia wajib melakukan solat dalam waktunya iaitu dalam waktu-waktu yang segera atau ditangguhkan dalam musafir, baik dalam kenderaan di darat, di laut ( termasuk kapal selam ) dan di udara.


Tiada hukum yang membolehkan seseorang meninggalkan solat dengan dasar untuk mengqadhakannya di waktu yang kemudian. Qadha solat hanya dibolehkan bagi siapa yang tidak sengaja meninggalkannya. Contohnya dengan tiba-tiba dia menghadapi masalah-masalah genting ( seperti kemalangan, kebakaran dan menghadapi bahaya ).


Amalan solat dikenal dengan bertakdir di permulaannya dan bersalam di penghujungnya, dimana dia mengandungi berbagai bentuk ibadah perbuatan iaitu berdiri ( qiyam ) di hadapan Allah Tuhan semesta, rukuk', i'tidal, sujud dan berbagai bentuk duduk serta ibadah lisan, bacaan al-quran, takbir, tasbih, tahmid, istighfar, isti'adzah, doa, tasyahhud dan salam. Meskipun solat itu rukun ke2 selepas kalimah syahadah, akan tetapi oleh sebab kelemahan dalam pendidikan menyebabkan ada umat islam yang hidup menikmati segala nikmat pemberian Allah, tetapi tidak bersolat bagi mensyukurinya, meninggalkan masjid-masjid, meringan-ringankan solat dan melambat-lambatkan waktunya. Disamping itu, ada pula yang memasuki masjid dengan merasakan seolah-olah dia terpenjara. Ada yang bersolat dengan pantas seperti patuk ayam dan ada pula yang apabila masuk bersolat, mereka tidak faham dan tidak mengerti apa pun bacaan dan perbuatan solat.


Dalam Lembaran kitab suci al-quran, Allah swt memuji orang yang bersolat lebih daripada 80 kali. Seterusnya Allah swt memuji para hambanya yang bersolat dengan baik ( mengikuti sunnah serta khusyuk ) dan memelihara solatnya secara berterusan. Kepada mereka disediakan syurga Firdaus, ,ereka akan kekal di dalamnya. Tiada suatu syi'ar atau lambang keagamaan yang lebih tinggi, mulia dan agung selain solat 5 waktu, dimana apabila dikaji kebaikannya ianya meliputi aspek-aspek aqidah (kepercayaan), ibadah, kerohanian, akhlak, sosial (termasuk pendidikan), politik, ekonomi dan kebudayaan (cara hidup) manusia sebagai hamba Allah swt yang patuh dan benar-benar bahagia dan berjaya dalam kehidupan didunia dan diakhirat. Mereka tidak seperti kehidupan orang-orang bukan islam yang dimurkai Allah swt dan sesat.


*Sumber daripada "Buku Al-Hidayah 160 Faedah utama dan terapi solat & padah meninggalkannya ".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan